Suatu masa dahulu, kita menggunakan terma gig kepada pemuzik yang membuat persembahan untuk satu jangka masa pendek. Seorang wartawan dan penulis Inggeris bernama Tina Brown mengubah terma tersebut pada tahun 2009 apabila melihat kepada perubahan besar-besaran di dalam sistem perkerjaan pasca kejatuhan ekonomi dunia tahun 2008. Dunia pekerjaan pada ketika itu menurut beliau didominasi oleh projek, kerja dan konsultasi yang bersifat sementara untuk jangka masa pendek dan sederhana yang lebih sesuai digelar sebagai gig economy.

Pada hari ini, ekonomi gig difahami sebagai satu sistem pasaran bebas berlandaskan pekerjaan bersifat sementara dan syarikat cenderung menggaji pekerja bebas dalam tempoh jangka masa pendek. Ciri utamanya adalah tempoh jangkamasa kerja yang lebih fleksibel, sementara atau bebas dengan pendapatan yang setara dengan pekerjaan tersebut. Ekonomi gig juga tidak mempunyai waktu kerja yang tetap berbanding dengan ekonomi tradisional. Aspek utama yang membezakan antara cara kerja ekonomi gig dengan pekerjaan tradisional adalah elemen digital yang diterapkan di dalam penyelesaian kerja tersebut.

Antara kelebihan menjadi pekerja bebas atau gig termasuk memperoleh pendapatan tambahan, jadual kerja yang lebih fleksibel, akses pasaran yang lebih mudah melalui internet dan kos menjalankan perniagaan yang jauh lebih rendah. Menurut kajian yang bertajuk The Global Gig Economy:Capitalizing on a >$500B Opportunity yang diterbitkan oleh Mastercard pada tahun 2019, ekonomi gig dijangka tumbuh pada kadar 17 peratus setahun. Nilai ekonomi gig diunjurkan akan mencecah RM1.89 trilion ($455 bilion) di seluruh dunia pada tahun 2023.

Ekonomi gig di Malaysia

Kredit gambar: https://www.ey.com/en_my/tax/how-the-gig-economy-is-changing-the-workforce

Kebanyakan generasi milenium di Malaysia tidak lagi berminat dengan konsep pekerjaan yang terikat dan tetap. Generasi milenium atau generasi Y yang lahir pada tahun 1981 hingga 1996 dibesarkan dalam era teknologi dan menjadikan golongan ini lebih celik digital. Menerusi kajian oleh Zurich-University of Oxford (2018) mendapati bahawa 38 peratus responden di Malaysia yang bekerja sepenuh masa sebenarnya mahu menceburi ekonomi gig dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sementara itu, menurut kajian oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun 2019 mendapati hampir 40 peratus tenaga kerja di Malaysia akan menjadi pekerja ekonomi gig dalam lima tahun akan datang, jauh lebih tinggi daripada purata global sebanyak 20 peratus. Penyertaan generasi milenium di dalam kancah pekerjaan dilihat sebagai faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan ini.

Tenaga buruh formal dan informal di Malaysia

Kredit gambar: https://www.equatex.com/en/article/gig-economy-means-hr/

Ekonomi gig hadir dengan ciri-ciri platform dalam talian yang menyediakan kemudahan kepada generasi milenium untuk mengembangkan bakat dan kebolehan mereka. Sehubungan itu, generasi ini menyumbang sebahagian besar guna tenaga dalam ekonomi gig yang menawarkan fleksibiliti lebih tinggi.

Berdasarkan statistik oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) seramai 22 juta rakyat Malaysia yang bekerja, hanya sejumlah 7.1 juta merupakan pekerja yang mencarum secara aktif kepada KWSP. Manakala seramai 1.7 juta pekerja lagi berada di sektor kerajaan dan separa kerajaan yang dilindungi oleh skim persaraan awam.

Baki selebihnya sebanyak 13.2 juta pula membabitkan individu yang bekerja sendiri, pekerja bebas yang berada luar bidang tenaga buruh yang dan tidak dilindungi oleh sebarang program perlindungan sosial secara formal. Jumlah ini sebenarnya merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh tempatan. Pekerja ekonomi gig adalah sebahagian daripada tenaga buruh di dalam sektor informal ini.

Daripada jumlah pekerja dalam sektor informal ini, 50.2 peratus daripada mereka berada dalam kumpulan umur 25 hingga 44 tahun. Data ini menunjukkan kebanyakan generasi milenium lebih cenderung untuk tidak terlibat dalam guna tenaga tradisional kerana ekonomi gig menawarkan kebebasan dan fleksibiliti yang lebih tinggi sesuai dengan aspirasi generasi ini.

Cabaran dan isu yang dihadapi pekerja ekonomi gig

Kredit gambar: https://themalaysianreserve.com/2019/10/03/govt-forms-a-taskforce-for-gig-economy-amid-foodpanda-woes/

Masalah utama yang dihadapi oleh pekerja di dalam ekonomi gig adalah tiada manfaat pekerjaan yang stabil dengan gaji dan faedah yang tetap meskipun mempunyai fleksibiliti kerja yang lebih tinggi. Di samping itu, belum terdapat peraturan, undang-undang atau panduan khusus bagi melindungi kebajikan kumpulan ini kecuali peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang mewajibkan individu bekerja sendiri mendaftar dan mencarum di bawah skim ini.

Pekerja di dalam ekonomi gig juga masih tidak dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Kerja 1955 dan peruntukan-peruntukan berkaitan tenaga buruh seperti gaji minimum, had waktu bekerja, cuti tahunan dan cuti sakit serta pemberhentian kerja yang tidak adil memandangkan kumpulan ini tidak diiktiraf sebagai pekerja formal. Selain itu, pekerja gig tidak mempunyai jaringan keselamatan kewangan termasuk pencen dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang dinikmati pekerja tradisional.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan dapatan kaji selidik oleh The Centre (2019) ke atas lebih 400 pemandu e-panggilan dan penghantaran yang mendapati hampir 60% responden tiada simpanan kecemasan manakala 59% tiada tabungan untuk hari tua atau persaraan.

Simpanan pendapatan untuk masa hadapan

Kredit gambar: https://www.kwsp.gov.my/-/epf-collaborates-with-grab-to-improve-retirement-savings-of-ride-hailing-driver

Namun begitu, berbeza dengan pandangan umum, pekerja ekonomi gig sebenarnya dilihat bersedia untuk mencarum sebahagian daripada pendapatan mereka sebagai simpanan persaraan. Ini dapat dilihat apabila KWSP memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Grab Malaysia sebagai usaha membantu pemandu perkhidmatan e-panggilan itu meningkatkan simpanan persaraan menerusi Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan).

Menerusi caruman mereka terhadap skim ini, pemandu Grab dapat menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP yang lain seperti dividen tahunan bagi simpanan persaraan, pengecualian cukai, manfaat kematian dan akses kepada Khidmat Nasihat Persaraan tanpa sebarang kos.

Kerajaan juga menawarkan tambahan 15 peratus ke atas caruman tahunan dengan jumlah maksimum sehingga RM250 setiap tahun sehingga 2022 bagi ahli yang berumur bawah 55 tahun yang menyertai i-Saraan. Di pihak Grab Malaysia, syarikat juga akan menyediakan caruman sebanyak lima peratus dari jumlah yang disumbangkan oleh pemandu terpilih tertakluk kepada nilai maksimum RM80 setahun sebagai tambahan kepada insentif yang disediakan kerajaan.

Berdasarkan tinjauan terhadap pemandu Grab, 75 peratus menyatakan minat mereka untuk menyimpan pendapatan bagi tujuan persaraan, khususnya selepas kerjasama melalui i-Saraan tersebut. Ini menunjukkan bahawa pekerja di sektor ekonomi gig dan sektor informal secara keseluruhannya akur kepada keperluan simpanan persaraan. Namun begitu, program seperti ini memerlukan kepada inisiatif kerajaan untuk mendorong mereka berbuat demikian.