Membelek Facebook, Pinterest dan Instagram akan membawa anda ke beberapa page dan akaun yang memberikan idea dekorasi. Ada ketikanya, idea dekorasi ini datang dengan kos yang sangat rendah dan minima, menggunakan bahan yang dikitar semula seperti kayu palet.
Namun begitu, tahukah anda terdapat jenis-jenis kayu palet yang selamat dan boleh digunakan? Terdapat juga beberapa jenis kayu palet yang dirawat menggunakan bahan kimia yang tidak sesuai dan berisiko untuk digunakan semula.
Pokok-pokok yang digunakan untuk membuat kayu palet
Terdapat dua jenis kayu yang digunakan di dalam pembuatan palet iaitu kayu keras dan kayu lembut. Palet yang diperbuat daripada kayu yang keras memberikan tektur yang kukuh dan kuat dan sesuai digunakan untuk menjadi pelapik kepada bebanan yang berat. Sebaliknya palet yang diperbuat daripada kayu yang lembut mempunyai tekstur yang tidak terlalu keras, tidak tahan lama dan biasanya hanya digunakan untuk bebanan yang agak ringan.
Antara kayu keras yang biasa digunakan sebagai palet adalah hickori, mahogani, maple, oak, teak, dan walnut. Manakala palet daripada kayu lembut biasanya menggunakan pokok pine.
Kelebihan dan kekurangan antara jenis kayu palet
Kayu palet yang keras seperti kayu oak tidak memerlukan banyak kayu untuk digunakan dalam proses pembuatan palet. Ini kerana, papan yang disusun itu kukuh tanpa perlu menggunakan lebih banyak kayu berbanding kayu lembut. Selain itu juga, kayu keras membolehkan palet digunakan berulang kali dalam apa jua keadaan kerana ketahanannya.
Kekurangan kayu palet adalah harganya yang lebih mahal kerana kayunya sukar untuk didapati. Selain itu, kayu keras juga tidak mempunyai bekalan yang konsisten seperti kayu lembut. Dari sudut kemampanan pula, kayu keras lambat untuk tumbuh semula lantas menyebabkan palet mungkin tidak mampu bertahan lama sehingga pokok baru matang untuk kembali ditebang. Palet kayu keras juga lebih berat dan memerlukan penggunaan tenaga yang banyak untuk proses pembuatan dan penggunaannya.
Kayu palet lembut seperti kayu pine pula jauh lebih mudah dan murah untuk diproses. Kayu pine juga mudah didapati di dalam pasaran kerana mudah untuk tumbuh dan mencapai kematangan. Dari sudut kemampanan pula, penebangan pokok pine mudah untuk diganti semula kerana ia cepat tumbuh berbanding pokok kayu keras. Kayu pine juga lebih ringan dan memudahkan proses pembuatan dan penggunaannya.
Kekurangan kayu palet pine pula adalah ia tidak boleh digunakan untuk bebanan yang berat. Selain itu juga, kayu palet pine tidak boleh bertahan untuk jangkamasa yang panjang. Kebiasaannya, palet daripada kayu pine hanya digunakan untuk jangka masa yang pendek dan seterusnya dibuang dan digantikan dengan palet kayu baharu.
Itulah sebabnya kita kerap kali melihat palet kayu pine dijual di kedai-kedai lusuh berbanding palet kayu keras.
Rawatan kimia terhadap kayu palet
Bagi menambahkan ketahanan kayu palet, kilang pembuat palet ini biasanya menggunakan beberapa teknik rawatan. Mengikut syarat yang dikeluarkan oleh International Plant Protection Convention (IPCC), kayu palet mestilah ditanda dengan rawatan yang dibuat, negara pengeluar serta tahun ianya dibuat bagi membolehkan pengguna tahu dan peka tentang kegunaannya.
Kayu palet ditanda dengan kod negara asal seperti US bagi Amerika Syarikat, DE bagi German, CN bagi China dan AU untuk palet dari negara Australia. Kod rawatan kayu juga ditanda dengan cop seperti Heat Treatment (HT), Kiln Dried (KD), Debarked (DB) dan Methyl Bromide (MB).
Kayu palet yang dihasilkan di Kanada atau Amerika Syarikat biasanya akan menjalani rawatan kawalan serangga perosak yang disebut sebagai Heat Treatment (HT) yang melibatkan pemanasan kayu palet. Rawatan ini memanaskan kayu tersebut ke suhu teras minimum 56°C untuk kayu lembut dan 60°C untuk kayu keras selama sekurang-kurangnya 30 minit. HT juga membantu kayu untuk kembang dan menutup rongga-rongga kayu yang mungkin menyimpan serangga. Maka, sekiranya anda terjumpa kayu palet yang bertanda HT, kayu tersebut tidak berbahaya kepada kesihatan dan boleh digunakan semula di dalam projek anda.
Ada kalanya, kayu palet yang telah dirawat dengan teknik HT juga dirawat dengan teknik Kiln Dried (KD). Kiln Dried adalah teknik mengeringkan kayu dengan ketuhar bersaiz besar dan tidak melibatkan sebarang campuran kimia. Tujuan pengeringan ini adalah sama iaitu untuk mematikan fungus dan serangga yang mungkin hidup di dalam kayu dan kayu palet ini selamat untuk digunakan.
Kayu palet bertanda Debarked (DB) melalui proses menghilangkan kulit kayu dengan menggunakan alat pemotong. Kayu ini juga dipanggil kayu dara kerana ia tidak dirawat dan biasanya menggunakan kayu keras. Maka, kayu palet yang ditandakan dengan huruf DB bebas daripada sebarang bahan kimia dan selamat untuk digunakan.
Sekiranya anda terjumpa dengan kayu palet yang bertanda Methyl Bromide (MB), elakkan daripada membelinya atau menggunakannya semula. Kayu palet ini dirawat menggunakan bahan kimia Methyl Bromide yang bukan sahaja berbahaya serangga perosak, kulat malah berbahaya kepada manusia. Pembakaran kayu palet MB juga sebenarnya menambah kepada penipisan ozon. Terdapat beberapa buah negara yang mengharamkan penggunaan kayu palet yang dirawat dengan teknik MB seperti Kanada.