Kerajaan Sarawak dilaporkan menyambung pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 (BKSS 5.0) bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Pakej BKSS sepatutnya tamat pada bulan hadapan, namun kerajaan negeri melihat kepada peningkatan kes yang mendadak untuk menyambung pemberian bantuan tersebut sehingga Disember 2021.
Melalui bantuan ini, diskaun sebanyak 5 peratus hingga 25 peratus bagi pembayaran bil elektrik untuk pengguna domestik, komersial dan industri mulai bulan Jun hingga Disember 2021 akan disambung. Bantuan ini dijangka akan terus memberi manfaat kepada 647,000 isi rumah di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan diskaun bil elektrik ini berjumlah RM166.8 juta.
Selain itu juga, diskaun antara 10 peratus hingga 25 peratus pula diberikan kepada bil air untuk pengguna domestik, komersial dan industri untuk tempoh yang sama dan ia akan memberi manfaat kepada lebih 568,000 isi rumah di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan diskaun bil air itu berjumlah RM32.1 juta.