Kacang bulu atau lebih dikenali sebagai kacang Edamame bukanlah tanaman yang sinonim dengan usahawan tani di Terengganu. Namun ia berpotensi menjadi ‘lubuk emas’ kerana permintaan yang sangat tinggi ketika ini.
Tanaman itu dikatakan berasal dari Jepun dan ia sangat terkenal sebagai hidangan snek lazat yang terdapat di restoran-restoran negara matahari terbit itu, serta rangkaian kedai 24 jam (7-Eleven) kerana keunikan rasanya yang rangup dan berlemak.
Seorang usahawan tani kacang bulu Muhammad Fahmi Ismail, 27, berkata, beliau memulakan projek tanaman itu pada tahun 2016 kerana menyedari potensinya yang sangat besar, untuk dijadikan sumber pendapatan sampingan.
“Kacang Edamame sangat mudah ditanam, kerana ia tidak mempunyai rutin penjagaan yang rumit, malah tiada serangga yang menyerang tanaman itu, membuatkan proses menanamnya sangat mudah.
“Harga kacang Edamame mentah di ladang ketika ini ialah RM10 untuk satu kilogram dan mampu mencecah RM15 jika di pasaran luar,” katanya.
Fahmi difahamkan telah memperoleh jualan hampir RM10,000 untuk satu tan hasil yang ditanam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.
Kesungguhan bapa kepada tiga anak itu dalam mengusahakan kacang Edamame, turut mendapat perhatian Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang memberi bantuan bernilai RM10,000, melalui program Geran Agropreneur Muda pada tahun 2018.
Fahmi berkata, melalui program itu, beliau menerima beberapa peralatan antaranya mesin rumput, mesin penggembur tanah untuk proses membajak dan pelbagai jenis baja, untuk digunakan di kebun miliknya seluas 0.4 hektar di Wakaf Mempelam.
Biarpun mempunyai pekerjaan tetap sebagai jurujual kereta terpakai di kedai milik abangnya, Fahmi tidak menghadapi kesukaran untuk mengusahakan kacang Edamame.
Ini kerana beliau mengupah lima pekerja sambilan untuk proses tertentu seperti mencabut akar pokok dan menggunting kacang bulu yang telah matang.
“Alhamdulillah, permintaan memang sentiasa ada saya sendiri mengiklankan jualan kacang Edamame ini melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp. Malah ada pemborong yang menghantarnya kepada pelanggan menggunakan khidmat syarikat kurier.
“Saya sangat menggalakkan usahawan tani lain agar turut menanam kacang ini kerana hasilnya juga sama lumayan seperti tanaman yang lain,” katanya.
Apa itu kacang Edamame?
Bagi mereka yang biasa makan di Sushi King, sudah pasti mengenali kacang Edamame. Kacang ini sangat popular di restoran-restoran Jepun kerana ia memiliki kandungan asid lemak omega-3, serat, protein yang tinggi, selain karbohidrat, mineral dan vitamin.
Edamame sebenarnya adalah sayuran yang dikenali sebagai kacang soya hijau. Edamame jika diterjemahkan secara terus bermaksud ‘kacang ranting’, iaitu ‘eda’=ranting dan ‘mame’=kacang.
Di China, kacang soya hijau ini dikenali sebagai maodou yang membawa maksud ‘kacang berbulu’. Ini kerana terdapat bulu-bulu halus pada kulit kacang ini.
Apabila dituai, kacang ini sebenarnya boleh dimakan begitu sahaja sebagai snek. Tetapi jika anda takut nak makan mentah, anda boleh merebusnya dengan sedikit garam secukup rasa sebelum dimakan.
Pokok kacang Edamame mengeluarkan hasil lebih kurang 2-3 bulan penanaman dan penuaian hasilnya hanya sekitar 2 minggu sahaja. Pengeluaran hasil Edamame lebih kurang 500 gram sepokok atau 120-150 biji buah.
Biji benih Edamame boleh didapati dari pembekal benih dengan harga RM250/kg.