Disebabkan penggunaan krim steroid selama bertahun-tahun untuk merawat penyakit ekzema, seorang wanita buta sebelah mata selepas didiagnos mendapat katarak.
Penderitaan Anita Wong, ibu berusia 36 tahun di New Zealand ini bagaimanapun hanya berakhir selepas beliau membuat satu keputusan penting.
Anita berkata penggunaan krim steroid tersebut terpaksa digunakannya kerana ia dapat melegakan kesakitan rekahan kulit yang disebabkan oleh penyakit ekzema. Kesakitannya sangat teruk sehingga ia menyukarkan beliau untuk bernafas.
Beliau mendedahkan bagaimana kini beliau berjaya mendapat kulit idamannya selepas bertahun-tahun menggunakan ubat steroid berdos tinggi yang menipiskan kulitnya.
Ibu kepada dua anak ini mendedahkan beliau sudah belajar hidup dengan penyakit ekzema sejak berusia 5 tahun.
Semasa membesar, Anita sentiasa rasa malu dengan keadaan kulitnya. Ramai kawan-kawannya menyangka penyakit ekzema yang dihidapinya boleh berjangkit.
Sejak kecil, Anita juga kerap mengunjungi doktor, dermatologis dan pakar alergi. Pelbagai ubat seperti emollient, topical steroid, krim anti-kulat, krim immunosuppressant, oral steroid, antibiotik dan anti-histamin semuanya telah dicubanya.
Apabila semua ubat moden gagal memberikan kesan, Anita beralih kepada tumbuh-tumbuhan semulajadi sebagai rawatan. Tetapi semua hanya memberikan kesan sementara sahaja.
Penyakit ekzema Anita jadi makin teruk
Apabila Anita mengandung anak sulungnya, Kingsley, yang kini berusia 9 tahun, beliau terpaksa berhenti menggunakan krim steroid.
Selepas melahirkan anaknya pada Mei 2011, Anita kembali berjumpa doktor untuk mendapatkan preskripsi topical steroid untuk merawat semula penyakit ekzema beliau.
Pada Julai 2013, Anita terkejut apabila tiba-tiba penglihatan kedua-dua matanya menjadi kabur. Doktor mengesahkan beliau mempunyai katarak di kedua-dua mata kerana kesan sampingan penggunaan topical steroid tersebut.
Anita kemudiannya menjalani pembedahan katarak pada Januari 2014. Tetapi kerosakan mata kanannya tidak mampu diperbaiki oleh doktor.
Dek kerana kecewa dengan keadaan baru matanya itu, Anita nekad berhenti menggunakan steroid untuk merawat penyakit ekzema. Selepas beberapa hari, kulitnya melalui simptom topical steroid withdrawal (TSW) yang menyebabkan kulitnya merekah, berkuping, merah-merah dan berair-air.
TSW yang dilalui Anita sangat sakit sehinggakan Anita terjaga dari tidur malam kerana sukar bernafas.
4 tahun selepas melalui TSW, barulah kulit Anita menjadi bertambah baik. Pada Januari 2018, kulit Anita mula menjadi bertambah elok. Buat pertama kalinya, Anita memperolehi kulit yang diidam-idamkannya sejak kecil.
Menurut Anita, proses detoks steroid yang dilaluinya menjadi punca kulitnya menjadi elok.
Krim topical steroid tak bagus untuk jangka masa panjang
“Semasa kecil, ibu bapa dan saya sentiasa mencari ubat untuk ekzema. Proses ini meletihkan sebab kesannya tak kekal lami sebelum saya guna steroid semula,” kata Anita di akaun Instagram miliknya.
“Ia memberi kesan kepada keyakinan dan kehidupan sosial saya. Gatalnya bukan kepalang. Akibatnya sejak kecil, saya menghidapi masalah insomnia.
“Bila saya mengandung anak pertama, saya terpaksa berhenti sekejap guna steroid. Ini membuatkan ekzema saya kembali menjadi teruk. Bila dah bersalin, saya kembali gunakan steroid. Kesakitan pun kurang.
“Tapi bila saya dapat katarak di kedua-dua belah mata sampaikan mata kanan saya jadi buta, saya jadi marah. Terus saya buang semua krim steroid saya. Ketika itulah saya dapat TSW.
“Bila saya berjaya atasi TSW, barulah saya sedar TSW sebenarnya yang buatkan penyakit ekzema saya teruk. Saya jadi marah kepada doktor kerana tak bagitahu saya tentang perkara ini sejak kecil.
“Melalui TSW memang memeritkan. Kulit saya jadi pedih. Saya jadi murung dan susah nak tidur. Nak bernafas pun susah sebab sakit sangat.
“Tapi bila dah berjaya melepasi TSW, barulah saya dapat rasa perubahannya. Saya rasa bersyukur sangat. Kulit saya jadi semakin elok.
“Tujuan saya kongsi cerita ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pesakit ekzema tentang keburukan jangka masa panjang penggunaan topical steroid.”
Anda boleh ikuti kisah Anita Wong dengan mengikuti akaun Instagram beliau di sini.