Seorang lelaki berusia 62 tahun memecah rekod dunia Guinness untuk tempoh senaman abdominal plank paling lama iaitu 8 jam, 15 minit dan 15 saat. Rekod tersebut dicatat oleh bekas tentera marin dan ejen polis narkotik (DEA) Amerika Syarikat, George Hood.

Menurut Guinness World Record, sebelum Hood memecah rekod ini, rekod dunia untuk tempoh senaman plank paling lama bagi lelaki dipegang oleh Mao Weidong dari China. Weidong mencatat masa 8 jam, 1 minit dan 1 saat untuk memecah rekod lama Hood pada 2011 iaitu 1 jam 20 minit.

Untuk wanita pula, rekod dunia dipegang oleh wanita Kanada, Dana Glowacka yang membuat plank selama 4 jam, 19 minit dan 55 saat pada 2019.

Hood sebelum ini pernah cuba untuk memecah rekod Weidong pada 2016 tetapi gagal. Lelaki yang berasal dari Chicago ini kemudiannya berazam untuk kembali merampas rekod dunia tersebut.

Menjelang hari beliau mencatat rekod dunia baru tersebut (15 Februari 2020), Hood berlatih setiap hari selama 7 jam secara purata sepanjang 18 bulan. “4-5 jam biasanya dihabiskan buat plank,” kata Hood kepada CNN.

“Kemudian saya buat 700 push-ups, 2,000 sit-ups dan 500 leg squats sehari. Untuk otot atas badan pula, saya buat 300 arm curls sehari.”

Guinness World Record menganggarkan Hood berlatih buat plank selama 2,100 jam sebagai persiapan hari memecah rekod.

https://twitter.com/nowthisnews/status/1231716113450336256

Apa rasa buat plank lebih 8 jam?

Semua orang yang pernah membuat plank pasti tahu betapa susahnya nak bertahan lebih seminit – apatah lagi lebih 8 jam! Jadi apa yang berada di fikiran George Hood ketika membuat senaman tersebut lebih daripada 8 jam?

Menurut Hood, beliau banyak berfikir tentang tiga anak lelakinya. Selain itu muzik rock dari Van Halen dan Rammstein juga membantu. “Bila keadaan menjadi sukar, saya suka pasang lagu rock kuat-kuat. Saya memang sentiasa berangan nak jadi bintang rock sejak tahun 80-an,” kata Hood. “Jadi selama 8 jam, 15 minit dan 15 saat, saya jadi bintang rock.”

Lelaki 62 tahun itu menyamakan cubaan memecah rekod itu hampir sama dengan berlari maraton.

“Mula-mula anda akan rasa tangan anda terbakar. Kulit akan koyak dan anda akan berdarah. Bila benda ini berlaku, jurulatih saya akan beri saya motivasi. Kemudian saya banyak minum air. Lama-lama rasa terbakar itu akan jadi kebas.

“Bila kebas, saya boleh bertahan lama. Cuma tinggal soal penat dan kekuatan mental.

“Tapi bila nak berhenti, saya akan ingatkan diri saya yang saya buat semua ini bukan untuk diri saya. Saya buat untuk tujuan yang lebih besar dan lebih bermakna.”

Buat untuk tujuan kebajikan

Hood mendermakan semua pendapatan yang diperolehinya ketika acara memecah rekod tersebut (melalui tajaan) kepada badan kebajikan yang membantu pesakit mental. Sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang, Hood tahu pesakit mental selalu mendapat stigma.

“Bila anda berada dalam situasi tembak-menembak, ada orang yang tak boleh menanganinya dengan baik. Mungkin kerana ada isu lain yang menganggu fikirannya – isu perkahwinan, isu anak atau masalah kewangan.

“Kadang-kadang ada orang yang nampak macam boleh menanganinya. Tetapi dia simpan sakit mental dia berseorangan. Dia tak tahu bahayanya simpan. Dia tak tahu macam mana nak cakap.

“Jadi saya harap dengan acara ini, saya boleh tunjukkan cara kepada pesakit mental untuk mendapatkan bantuan klinik dan pakar.

“Kalau nak diikutkan, saya boleh sahaja nak berhenti lepas 8 jam 1 minit. Tetapi saya terus bertahan dan bertahan sehingga sampai masa 8 jam 15 minit 15 saat supaya ada nombor ‘515’ di rekod saya.”

Nombor 515 itu merujuk kepada nama gimnasium ‘515 Fitness’ yang disokong oleh Hood. 515 Fitness adalah sebuah gimnasium di Amerika Syarikat yang membantu pesakit mental melalui senaman dan bantuan profesional.

Hood turut berkata ini adalah kali terakhir beliau akan cuba memecah rekod dunia untuk plank paling lama. Beliau berkata matlamat seterusnya adalah untuk memecah rekod dunia Guiness bagi push-ups paling banyak dalam masa sejam. Rekod ketika ini adalah sebanyak 2,806 sejam.

Jika ada satu nasihat daripada rekod ini, Hood berkata kita perlu menjaga ‘pokok’ untuk mencapai apa-apa matlamat:

“Semua orang boleh buat apa yang saya buat. Setiap pokok ada akarnya. Bila pokok dah ditanam dan akarnya bertumbuh, tak kiralah 30 saat, 1 minit atau 5 minit buat plank, anda perlu ulang-ulang setiap hari. Jaga pokok tersebut. Bila jaga, barulah pokok anda akan membesar dan anda dapat plank lebih lama.”

Kredit gambar: Josef Holic