Jabatan Mufti Kedah memberikan makluman penting buat seluruh umat Islam di seluruh negeri tersebut apabila mengumumkan perubahan waktu Solat Subuh dan Imsak yang akan bermula pada 25 Februari depan.
Perubahan yang dimaksudkan adalah tambahan lapan minit dari awal waktu solat Subuh semasa dan dilaporkan telah mendapat perkenan daripada Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berhubung perkara tersebut.
Ini bermakna sebagai contoh sekiranya pada ketika itu waktu Subuh adalah pada jam 6.17, maka ia perlu ditambah lapan minit lagi dan ia menjadikan waktu Subuh sebenar masuk pada jam 6.25 pagi.
Menurut sumber makluman rasmi yang dikeluarkan oleh Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil bin Haji Awang, keadaan itu berlaku berikutan perubahan kedudukan altitud matahari.
“Perubahan ini adalah berdasarkan ketetapan perubahan darjah kedudukan altitud matahari di bawah ufuk dalam menentukan waktu terbit fajar sodiq daripada 20 darjah yang diguna pakai sebelum ini kepada 18 darjah.”
”Perubahan ini hanya membabitkan awal waktu solat Subuh dan Imsak sahaja dengan solat Subuh yang didirikan sebelum ini adalah sah serta tidak perlu diqadha’ (diganti).”
”Maka, dengan ini ditetapkan awal waktu solat Subuh bagi Negeri Kedah Darul Aman berkuat kuasa pada 1 Rejab 1441H bersamaan 25 Februari 2020,” ujar beliau lagi.
Pada 28 November 2019, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut mengumumkan perubahan waktu solat Subuh bagi seluruh kawasan di negeri tersebut dengan tambahan lapan minit daripada waktu asal semasa.
Kredit foto: Masjid Zahir