Biskut Pocky merupakan makanan ringan yang sangat terkenal di seluruh pelusuk dunia. Dihasilkan oleh syarikat Glico di Jepun, sebanyak 19 bilion kotak biskut tersebut telah terjual di seluruh dunia sejak tahun 1966.
Sehingga hari ini juga, sebanyak 500 juta kotak Pocky terjual dalam masa setahun. Ia juga dianggap sebagai makanan ringan keluaran syarikat Glico yang paling lama terjual.
Pada tahun 2019 juga, biskut Pocky mencatatkan rekod dunia sebagai jenama biskut bersalut coklat terbesar di dunia. Pada tahun tersebut, dianggarkan sebanyak $589 juta jualan dicatatkan oleh biskut ini.
Disebalik kerangupan dan kesedapan biskut ini, syarikat induknya Glico pernah dilanda kontoversi besar pada tahun 1984. Kontroversi tersebut hampir sahaja melumpuhkan operasi Glico dan menghilangkan kepercayaan pengguna terhadap jenama mereka.
Ini kisah ugutan terhadap syarikat Glico oleh penyenayah misteri yang masih bebas sehingga hari ini.
Bermula dengan penculikan CEO Glico
Dari dalam tub mandiannya, CEO Glico Katsuhisa Ezaki diseret keluar oleh dua lelaki bersenjatakan pistol. Ketika itu, beliau baru pulang dari tempat kerjanya, ibu pejabat Glico.
Penculikan tersebut dilakukan dengan terancang sekali. Mereka memecah masuk rumah ibu Ezaki dan merampas kunci rumah anaknya. Ibunya yang tinggal berseorangan kemudiannya diikat.
Kedua-dua anak dan isterinya juga diikat dan ditinggalkan di dalam tandas. Talian telefon rumah turut diputuskan oleh penculik.
Sebagai CEO kepada syarikat yang sangat berjaya, Ezaki cuba untuk berbincang dengan penjenayah tersebut. Beliau menawarkan wang tunai bagi pembebasannya. Namun, tawaran tersebut tidak diendahkan.
Ezaki kemudiannya diseret keluar ke kereta yang sedia menunggu dan hilang dalam kegelapan malam.
Ugutan pertama: wang tunai dan emas
Penculik tersebut mula meninggalkan klu bagi mencari nota tebusan melalui seorang pengarah Glico. Selepas polis melakukan siasatan awal, mereka menemui petujuk. Di sebuah pondok telefon berhampiran, penjenayah tersebut meninggalkan nota tebusan.
Peculik mahukan wang tebusan berjumlah 1 bilion Yen ( $4.3 juta pada tahun 1984) dan 99.79kg jongkong emas. Jumlah wang tebusan dan emas yang diminta merupakan rekod dalam sejarah jenayah Jepun. Namun begitu, berlaku satu keajaiban.
Ezaki berjaya meloloskan diri beliau dari tahanan penculik. Biarpun begitu, ia tidak menghentikan masalah buat dirinya dan syarikat Glico. Penjenayah tersebut secara berterusan mengganggu mereka dengan membakar kereta di pejabat Glico dan menghantar ugutan dengan asid.
Dan ia tidak terhenti di situ.
Ugutan kedua: mencemarkan gula-gula Glico dengan racun
Menggunakan akhbar, kumpulan penculik itu berterusan mentertawakan polis kerana tidak berjaya untuk menangkap mereka. Mereka menggelarkan diri sebagai kaijin nijuichi menso—yang bermaksud Lelaki Misteri Dengan 21 Wajah.
Ugutan seterusnya juga dihantar melalui akhbar. Kali ini, mereka menggunakan ancaman yang lebih berbahaya. Menurut penculik tersebut, mereka telah meletakkan racun cyanide di dalam beberapa gula-gula keluaran Glico yang berada di pasaran.
Racun cyanide merupakan racun yang sangat berbahaya kepada manusia. Hanya sebanyak 0.15g diperlukan untuk membunuh manusia yang termakan racun ini. Maka, ia mencetuskan panik.
Syarikat Glico terpaksa menarik balik kesemua produk keluaran mereka dari pasaran. Biarpun akhirnya tiada racun cyanide dikesan, ia telahpun menjatuhkan reputasi Glico. Rata-rata pengguna tidak lagi berkeyakinan untuk membeli barangan keluaran syarikat mereka.
Ia membawa kepada kerugian buat syarikat Glico. Dianggarkan syarikat tersebut mengalami kerugian sebanyak $21 juta dan terpaksa membuang hampir 1,000 orang pekerja.
Lelaki Misteri Dengan 21 Wajah tersebut pula masih tidak berjaya ditahan sehingga hari ini.