Setakat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 48 kematian akibat banjir besar yang melanda negara. Lima mangsa lagi dilaporkan masih hilang dalam bencana banjir yang melanda negara sejak 19 Disember lalu.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula menyifatkannya banjir kali ini seakan-akan sama dengan banjir besar yang berlaku pada tahun 1971. Insiden banjir besar 50 tahun lalu itu dianggap terburuk dalam lipatan sejarah Malaysia. Perdana Menteri pada waktu itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terpaksa mengisytiharkan darurat bencana di seluruh negara.
Berbeza dengan kejadian banjir besar yang berlaku sebelum ini, ia memperlihatkan kepentingan Terowong SMART kepada ibu kota Kuala Lumpur. Ini kerana, kawasan-kawasan seperti Masjid Jamek, Leboh Ampang, Jalan Melaka, Dataran Merdeka, Dang Wangi, Lebih Pasar dan Pasar Seni hanya mengalami kenaikan air pada skala kecil sahaja.
Peranan utama dan rekod operasi Terowong SMART
Mula dibuka pada tahun 2007, peranan utama Terowong SMART adalah untuk mengurangkan masalah banjir di sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur. Hab perniagaan utama di kawasan berhampiran pertemuan Sungai Klang dan Sungai Ampang sangat terdedah kepada risiko banjir. Kawasan perniagaan tersebut juga menempatkan jutaan pekerja.
Kali ini, Terowong SMART turut mencatatkan rekodnya yang tersendiri apabila diaktifkan selama 22 jam bagi melencongkan air Sungai Klang yang naik. Ini susulan hujan lebat berterusan sejak 18 Disember lalu. Sepanjang tempoh berkenaan, terowong tersebut berjaya melencongkan lima juta meter padu air. Ia mula diaktifkan sepenuhnya pada 1.32 tengah hari 18 Disember sehingga 12 tengah hari 19 Disember.
Sejak mula beroperasi pada tahun 2007, Terowong SMART merekodkan sebanyak lapan kali lencongan air dan disetiap operasi hanya merekodkan kira-kira tiga jam operasi. Namun, disebabkan intensiti hujan yang sangat tinggi di Kuala Lumpur, lencongan kali kesembilan ini mengambil masa kira-kira 22 jam.
Empat mod operasi Terowong SMART
Selain daripada membantu mengelakkan banjir di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, terowong ini juga membantu aliran kenderaan untuk keluar dari ibu kota. Berikut merupakan empat mod operasi terowong ini:
- Mod 1: Tiada air dilencongkan ke dalam Terowong SMART ketika cuaca baik. Ia beroperasi sebagai lebuh raya bawah tanah kepada kenderaan ringan.
- Mod 2 : Ketika hujan mulai lebat, lebihan air akan dilencongkan melalui terowong di tingkat paling bawah. Pergerakan trafik masih lagi dibuka seperti biasa.
- Mod 3: Terowong akan ditutup kepada aliran kenderaan. Proses ini mengambil masa selama kira-kira satu jam. Setelah semua kenderaan telah keluar daripada terowong, pintu-pintu kedap air akan ditutup. Air banjir kemudiannya disalurkan ke dalam terowong. Setelah air banjir telah surut, keadaan terowong akan diperiksa dan dibersihkan. Ia akan dibuka semula selepas dua hingga lapan jam.
- Mod 4: Terowong digunakan sebagai tempat simpanan air banjir untuk sementara waktu. Setelah air banjir surut, proses sama seperti Mod 3 berlangsung. Namun, ia mengambil masa yang lebih panjang iaitu antara 2 hingga empat hari.
Mod 4 ini pernah digunakan sebanyak lapan kali sejak Terowong SMART dibuka.
Ciri-ciri keselamatan yang menarik
Disebabkan fungsinya sebagai lebuh raya bawah tanah, Terowong SMART turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan. Antaranya adalah sistem pengukur Air Quality Monitoring Equipment (AQME). Terdapat 38 set AQME yang tersedia di sepanjang terowong ini bagi memastikan udara di dalam terowong sentiasa bersih. Sistem AQME memastikan gas karbon dioksida dan nitrogen monoksida sentiasa dikeluarkan dan digantikan dengan udara segar dari luar terowong.
Terowong ini juga dilengkapi dengan 212 CCTV yang sentiasa mengawasi pergerakan kenderaan melintasi lebuh raya tersebut. Selain itu juga, Radio Re-Broadcasting Services membolehkan perhubungan melalui talian telefon dan juga siaran radio FM tidak terputus di dalam terowong ini.
Terowong SMART juga memiliki pasukan kecemasan khas yang terlatih dengan jentera pemadam api dan ambulans yang tersendiri.