Tayar merupakan komponen yang sangat penting bagi sebuah kereta. Ia merupakan satu-satunya bahagian pada kereta yang bersentuhan dengan permukaan jalan, lantas menjadi pengimbang utama bagi kenderaan tersebut. Namun begitu, kerap lagi pemandu tidak mengambil berat soal penjagaan dan status tayar kereta mereka.
Tanpa penjagaan yang rapi, tayar yang diperbuat daripada getah ini mudah sahaja untuk rosak. Sedikit kerosakan pada permukaan tayar ini boleh menjejaskan keberkesanan brek, pengendalian dan pecutan kereta. Secara tidak langsung, pemandu berhadapan dengan risiko luar jangka sewaktu memandu.
Kerosakan tayar secara tiba-tiba mampu menjadi penyebab kepada kemalangan jalan raya. Tayar yang tidak dijaga dengan teliti juga menjadi punca ia cepat haus dan perlu diganti.
Jangka hayat set tayar baharu kereta anda mungkin berakhir selepas memandu sejauh 16,000km hingga lebih 80,000km perjalanan. Ia bergantung kepada kualiti tayar, gaya pemanduan, cara penjagaan dan penggunaan tayar tersebut. Berikut merupakan langkah yang boleh diambil oleh pemandu untuk memastikan tayar kereta berada di tahap yang terbaik.
Periksa tekanan angin tayar anda sebulan sekali
Langkah pertama memerlukan anda untuk memeriksa tekanan angin tayar anda sendiri. Terdapat tolok tekanan tayar yang dijual bagi memudahkan pemeriksaan ini.
Selain itu juga, anda boleh memeriksa tekanan tayar sewaktu berada di stesyen minyak. Satu lagi tips mudah adalah memeriksa tekanan angin di kedai tayar atau bengkel kereta anda sewaktu melaksanakan servis berkala. Kebiasaannya, perkhidmatan ini adalah percuma.
Perkara yang paling mustahak adalah untuk mengetahui tekanan yang diperlukan oleh tayar kereta anda. Ia boleh disemak dengan mudah di bahagian tepi frame pintu pemandu.
Adalah normal untuk tekanan angin kereta berkurangan sebanyak 1 PSI dalam masa sebulan. Namun begitu, ia bergantung kepada jenis tayar, cara dan jarak pemanduan.
Periksa keadaan fizikal tayar anda
Langkah kedua pula memerlukan pemandu untuk memeriksa keadaan fizikal luaran tayar tersebut. Banyak faktor yang menyebabkan tayar rosak, antaranya usia tayar. Ketika membeli tayar, simpan resit pembelian dan pastikan tahun keluaran tayar tidak terlalu lama. Sebagai contoh, tayar Bridgestone hanya disyorkan untuk digunakan selama sepuluh tahun selepas dikeluarkan dari kilang.
Tayar berisiko untuk rosak sekiranya dawai yang berada di dalam tayar tersebut telah terkeluar. Sekiranya anda terlihat keadaan seperti itu, adalah wajib untuk menukar tayar tersebut.
Keadaan tayar yang berbenjol juga mendatangkan risiko sewaktu pemanduan. Tayar benjol akibat kerosakan struktur dalamannya yang tidak lagi memegang getah di luar dengan baik.
Kehausan bunga tayar juga menjadi faktor yang memerlukan anda menukar tayar tersebut. Anda akan mula merasakan pemanduan sewaktu cornering yang membuang, selain brek yang kurang efektif. Terdapat ukuran minima bagi bunga tayar kereta iaitu 1.6 mm.
Pastikan imbangan dan jajaran tayar di tahap terbaik
Sewaktu memandu, sepatutnya kereta tidak akan bergerak ke tepi dengan mudah tanpa pusingan stereng. Pemandu sebenarnya boleh merasakan sekiranya kereta tersebut berat untuk ke arah kiri ataupun kanan jalan.
Selain itu juga, tanda jajaran tayar sudah tidak tepat apabila stereng kereta anda tidak kembali ke posisi asal selepas membelok. Kedudukan stereng juga kelihatan senget biarpun memandu di jalan yang lurus seperti di lebuh raya.
Jajaran tayar biasanya berubah sekiranya anda terlanggar lubang ataupun apa-apa halangan dengan kuat. Ia juga boleh berubah selepas anda menukar apa-apa komponen berkaitan suspension dan wheel base. Sekiranya dirasakan stereng agak berat ke satu arah, proses jajaran tayar perlu dibuat dengan segera.
Imbangan tayar pula perlu dilakukan apabila anda menukar tayar baharu, ataupun menukar tayar semasa dengan tayar gantian. Ini kerana, tayar sedia ada biasanya telah diletakkan dengan pemberat untuk mengimbanginya.
Kedua-dua proses imbangan dan jajaran ini perlu dilakukan di bengkel ataupun kedai tayar.
Tukar kedudukan tayar kereta dengan proses silang
Setiap tayar mengalami tekanan berbeza bergantung kepada posisi ia dipasang, sekali gus mempengaruhi kehausan bunga yang berbeza. Tayar depan bagi kenderaan berenjin depan menampung lebih beban berbanding tayar belakang. Kereta jenis pacuan roda depan (FWD) juga menambah lebih berat kepada tayar depan.
Beban-beban lain seperti daya brek juga perlu ditanggung tayar depan dengan beban sekitar 80 peratus. Malah, tayar depan juga ialah komponen roda utama ketika pemandu membelokkan kenderaan. Maka, kegunaan tayar depan dan belakang yang tidak setara itu membuatkan tayar depan lebih cepat haus berbanding tayar belakang.
Ia juga turut bergantung kepada beberapa faktor lain seperti jenis kenderaan, gaya pemanduan, jenis tayar, kondisi kenderaan dan penyenggaraan tayar.
Maka, pemandu perlu menukar kedudukan tayar kereta dengan proses silangan tayar. Ia dibuat bertujuan mengagihkan untuk mengagihkan kehausan bunga tayar yang berbeza supaya tidak bertumpu kepada bahagian tertentu sahaja. Misalnya, tayar belakang cenderung mengalami kehausan jenis tengah, manakala tayar depan kerap haus di bahagian bahu luaran (tepi).
Proses menyilangkan posisi tayar dibuat dengan menukarkan kendudukan tayar depan ke belakang dan sebaliknya. Ia mampu menjadikan tayar belakang untuk haus pada bahagian bahu, manakala tayar depan haus di tengah. Secara tidak langsung proses ini dapat memanjangkan jangka hayat tayar dan mengurangkan kehausan tidak sekata yang menyebabkan bunyi bising dan gegaran.
Adalah disarankan untuk menyilangkan tayar kereta bagi setiap 8,000km – 10,000km.