“Orang kaya kena kahwin dengan orang miskin,” gesa Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy di Jakarta pada Rabu lepas.
Muhadjir mengemukakan cadangan itu sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar negara tersebut, menurut The Jakarta Post.
Beliau turut berkata ajaran agama Islam yang menggalakkan penganutnya untuk mencari pasangan yang sekufu sebelum kahwin ‘sering disalah erti’.
“Apa akan terjadi jika orang miskin cari orang miskin [untuk berkahwin]? Keluarga miskin akan menjadi bertambah banyak. Inilah masalah Indonesia,” katanya dalam ucapan pembukaannya ketika merasmikan Mesyuarat Kerja Kesihatan Nasional.
Muhadjir turut memetik data kerajaan Indonesia yang menganggarkan jumlah keluarga miskin di seluruh negara tersebut adalah hampir 5 juta.
“Indonesia mempunyai 57.1 keluarga. 9.4% daripadanya atau 5 juta dikategorikan sebagai miskin tegar. Jika kita mengambil kira keluarga yang miskin sekali, jumlahnya naik kepada 16.8% iaitu kira-kira 15 juta.
“Kemiskinan keluarga turut membawa peningkatan pelbagai jenis penyakit seperti pertumbuhan terbantut dalam kalangan kanak-kanak,” jelasnya.
Gesa keluar fatwa suruh orang kaya cari orang miskin
Muhadjir turut menggesa Menteri Agama Fachrul Razi untuk mengeluarkan fatwa yang menyuruh ‘yang miskin mencari yang kaya [untuk kahwin] dan yang kaya mencari yang miskin’. Menurut beliau, “Fatwa ini dapat menyelesaikan masalah peningkatan jurang kaya dengan miskin yang semakin melebar.”
Seperti di Malaysia, Menteri Agama Indonesia tidak boleh mengeluarkan fatwa. Fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh organisasi ulama seperti Majlis Ulama Indonesia (MUI). Selepas kajian komprehensif daripada Komisi Fatwa dijalankan, barulah fatwa boleh dikeluarkan.
Cadang program kahwin khas untuk pasangan muda miskin
Selain fatwa, Muhadjir (gambar bawah, paling kiri) juga mencadangkan program sijil pra-kahwin yang membantu pasangan yang mahu berkahwin tetapi belum kukuh ekonominya. Dalam program ini, pasangan mesti menerima kad pra-perkerjaan daripada program yang telah dilancarkan oleh Presiden Joko Widodo.
Menteri berusia 63 tahun itu berkata beliau mengambil contoh perlaksanaan program tersebut yang sudah dilakukan di Korea Selatan, Malaysia dan Singapura. “Program ini telah terbukti dapat mengurangkan kadar kemiskinan tegar dalam kalangan keluarga baru di Indonesia.” katanya.
Bank Dunia menganggarkan kira-kira 115 juta rakyat Indonesia, iaitu 45% populasi penduduknya, masih belum menikmati kestabilan ekonomi dan gaya hidup kelas pertengahan (M40).
Bagaimanapun Bank Dunia memuji usaha agresif Indonesia mengurangkan kadar kemiskinan sejak 15 tahun lepas yang turun 10%. Saiz kelas pertengahan bertambah dari 7% kepada 20% sepanjang tempoh tersebut.
Pada Oktober 2019 lepas, Presiden Joko Widodo menyatakan visinya untuk mengubah Indonesia menjadi negara maju dengan keluaran kasar dalam negara (KDNK) berada dalam senarai lima negara terbaik di dunia dan kadar kemiskinan sifar.
Reaksi rakyat Indonesia
Hasil tinjauan Rencah di media sosial, rata-rata rakyat Indonesia menyambut dingin cadangan Muhadjir tersebut.
Beberapa rakyat Indonesia mempersoalkan keterujaan menteri mereka untuk mengatur segala aspek kehidupan mereka – termasuk dalam soal jodoh.
“Sekarang pernikahan, rumah tangga semuanya diatur negara. lama kelamaan mau makan harus nyanyi lagu nasional dulu nih,” tulis seorang di Twitter.
Indra Muhammad berkata,” Mon maap ni pak, jodoh udah ada yang atur gak usah ribet-ribet dah.”
“Jodoh di tangan Tuhan pak, bukan di tangan negara,” ulas Sofyan.
Ada juga yang mahu Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia itu untuk menunjukkan contoh dan teladan berdasarkan cadangannya sendiri.
“Klo yang miskin siap-siap saja. Trus yang kaya. Coba di awali anak-anak presiden, mentri-mentri, dan pejabat-pejabat dinikahkan dengan anak-anak buruh tani siap gak kira-kira?” tulis Miza Budin.
Arya pula menulis, “Pak Muhadjir tolong kasih contoh dulu, anaknya suruh nikah sama Gembel Warnet deh.”