Kira-kira satu tahun lapan bulan yang lalu, sempadan Singapura dan Malaysia telah ditutup. Mulai 29 November ini, Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) khas akan dibuka antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Changi.
Melalui gelembung VTL, pelancong yang lengkap divaksin akan dapat melakukan perjalanan antara Singapura dan Malaysia. Ia hanya tertakluk kepada ujian Covid-19 tanpa perlu menjalani kuarantin. Keputusan ini merupakan keputusan bersama yang diumumkan oleh kedua-dua Perdana Menteri Singapura dan Malaysia.
Persoalannya, cuba semak semula pasport di dalam simpanan anda. Masih hidup, atau sudah lama mati? Melalui perkongsian ini, ayuh kita semak langkah-langkah untuk perbaharui Pasport Malaysia secara dalam talian.
1. Buka portal MYIMMS E-SERVICES
Portal ini disediakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia bagi memudahkan warganegara Malaysia untuk membuat permohonan pembaharuan Pasport Malaysia. Ia boleh diakses di sini.
Baca terma-terma dan syarat penggunaan portal tersebut terlebih dahulu. Tekan setuju untuk ke halaman seterusnya.
2. Isi maklumat yang diperlukan
Sama seperti mengisi borang di kaunter Jabatan Imigresen, anda perlu mengisi maklumat bagi memperbaharui Pasport Malaysia. Rujuk passport lama di dalam simpanan anda untuk memudahkan pencarian maklumat.
3. Pilih cawangan untuk mengambil pasport
Baik, langkah seterusnya adalah memilih cawangan terdekat dengan anda untuk mengambil pasport yang siap kelak. Pilih cawangan yang berdekatan dengan anda untuk memudahkan proses pengambilan kelak. Ingat, wakil tidak dibenarkan mengambil bagi pihak anda.
Bagaimanapun, anda hanya boleh memilih untuk mengambil pasport di pejabat pengeluar pasport yang disenaraikan dalam sistem sahaja. Tarikh dan masa pengambilan pasport pula akan ditentukan oleh sistem berdasarkan hari dan masa permohonan dibuat.
4. Muat naik gambar berukuran pasport
Terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi untuk memuat naik gambar anda.
- Gambar yang dimuat naik mestilah dalam bentuk softcopy yang diambil oleh kedai gambar profesional. Anda boleh scan gambar tersebut untuk dimuat naik. Gambar polaroid tidak dibenarkan.
- Latar belakang foto MESTI berwarna putih tanpa bayang. Latar belakang menggunakan warna lain tidak akan diterima.
- Pakaian berwarna gelap serta menutupi bahu dan dada. Bagi perempuan yang memakai tudung kepala atau hijab mesti memakai tudung/hijab yang berwarna gelap dan tidak boleh menutup muka.
- Tidak memakai cermin mata, kanta lekap berwarna dan aksesori di atas kepala.
- Anda mesti memuatnaik gambar/foto bersaiz pasport yang terbaharu.
5. Buat pembayaran bagi pembaharuan passport
Bayaran bagi permohonan pembaharuan Pasport Malaysia secara dalam talian boleh dibuat menggunakan kad kredit atau sistem debit terus (FPX). Kadar bayaran yang dikenakan adalah seperti berikut:
- Permohonan Biasa (13 – 59 tahun): RM 200
- Warga Emas (60 tahun keatas): RM100
Terma dan syarat lain yang perlu dipatuhi:
1. Pemohon mesti berumur 13 tahun keatas yang telah dikeluarkan dengan e-pasport (pasport bercip).
2. Bagi pemohon di bawah umur 18 tahun: Hanya penjaga yang sah yang telah memberi kebenaran semasa permohonan yang terdahulu dibenarkan membuat permohonan secara atas talian. Penjaga yang sah perlu hadir di pejabat imigresen semasa pengambilan pasport tersebut. Jika penjaga tidak hadir bersama, pasport tersebut tidak akan diserahkan.
3. Pemohon perlu hadir sendiri untuk mengambil pasport dengan mengemukakan kad pengenalan, pasport sedia ada dan resit bayaran. Tiada wakil dibenarkan.
4. Kegagalan mengemukakan dokumen atau hadir akan menyebabkan pasport tidak akan diserah.
5. Buku Pasport lama mestilah didalam keadaan baik (tidak rosak ,berconteng, terkena air).
6. Pemohon yang pasportnya hilang atau rosak tidak dibenarkan membuat permohonan secara atas talian.