Selain kopi, teh merupakan minuman yang sangat popular dan digemari ramai. Ladang teh pertama wujud di Tanah Melayu adalah sekitar akhir 1920-an. Ia dibuka oleh pihak British ketika mula-mula merancang dan membangunkan Cameron Highlands.
Maka, teh sudah menjadi sebati dengan kita sejak hampir 100 tahun. Cara meminum teh juga berbeza mengikut citarasa masing-masing. Antara teh yang biasa dinikmati oleh masyarakat Malaysia adalah teh tarik yang boleh dianggap sebagai minuman kebangsaan.
Selain itu juga, teh o dan teh hijau juga mempunyai peminatnya yang tersendiri. Teh hijau dari Jepun dan China sangat popular di negara kita. Antara jenis yang terkenal adalah seperti matcha, gyokuru dan sencha. Perbezaan teh hijau ini sebenarnya bergantung kepada cara ia ditanam, cara tuaian dan juga proses pengeringannya.
Teh hijau sering dikaitkan sebagai teh yang sihat dan kaya dengan pelbagai manfaat dan khasiat. Ini kebaikan meminum teh hijau yang anda perlu tahu.
1. Mengurangkan risiko kanser
Secawan teh hijau mengandungi pelbagai nutrient dan kandungan zat yang baik untuk tubuh badan. Antaranya adalah bahan antioksidan yang dipanggil catechins. Bahan ini dianggap sebagai senjata ampuh bagi melawan kanser.
Terdapat kajian yang menunjukkan peminum teh hijau kurang mempunyai risiko kanser yang pelbagai, berbanding mereka yang tidak meminumnya. Antara risiko kanser yang boleh dikurangkan termasuk kanser prostat dan payudara. Kedua-dua kanser ini merupakan kanser yang amat kerap menyerang lelaki dan wanita.
2. Membantu pengurangan berat badan
Cara teh hijau diminum sebenarnya berkait rapat dengan kebaikannya. Sekiranya teh hijau anda itu mempunyai susu pekat dan gula, maka abaikan kebaikan ini.
Teh hijau kosong, tanpa sebarang pemanis mempunyai kandungan kafien yang tinggi. Ia membantu meningkatkan metabolism di dalam badan. Secara tidak langsung, lemak di dalam badan juga kembali aktif untuk dibakar sepanjang hari.
Secawan teh hijau mampu membakar sekitar 75 hingga 100 kalori sehari. Apabila diambil untuk jangka masa yang panjang, ia akan membantu pengurangan berat badan.
3. Mengurangkan kadar kolestrol
Teh hijau didapati amat berkesan dalam menurunkan kadar kolestrol dengan kandungan alkalinya. Minuman ini juga mampu menggerakkan asid lemak daripada tisu lemak, mengurangkan komposisi lemak dan menjadikan ianya sebagai tenaga yang bersedia untuk aktiviti fizikal. Maka, tubuh badan sentiasa bersedia untuk aktiviti fizikal.
Minuman ini juga dipercayai boleh mencegah obesiti, terutamanya penyakit diabetis jenis dua. Ianya terjadi akibat gula dalam darah yang tinggi kerana kekurangan insulin yang dihasilkan. Teh hijau boleh meningkatkan sensitiviti insulin, lantas mengurangkan tahap kandungan gula dalam darah.