Kerjasama strategik antara Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bersama-sama Lembaga Tabung Haji dan Visa bakal memberikan kemudahan buat jemaah haji dari Malaysia berikutan pengenalan kad debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji yang baharu sahaja dilancarkan semalam.
Menurut sumber Berita Harian Online, antara keistimewaan yang terdapat pada kad debit tersebut ialah tiada sebarang caj dikenakan untuk urusan pengeluaran tunai di Arab Saudi pada musim haji.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed mengakui kad terbaharu yang dikeluarkan oleh pihaknya itu mempunyai perbezaan berbanding keluaran kad debit sebelum ini.
“Berbeza dengan kad debit dikeluarkan sebelum ini, Kad Debit-i Bank Islam Visa adalah kad biorosot pertama diperbuat daripada material PET berkualiti tinggi yang boleh dikitar semula.”
“Ia menjadikannya kad mesra alam pertama yang sejajar dengan hasrat kelestarian kami.”
“Kad ini membolehkan pelanggan membuat pembayaran di lebih 60 juta lokasi niaga dan mendapatkan akses tunai di lebih 2.5 juta termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh dunia termasuk Arab Saudi,” ujar Mohd Muazzam ketika majlis pelancaran.
Bagi jemaah haji atau pelanggan yang ingin menikmati kemudahan dan kelebihan kad debit ini, hanya perlu membuka akaun Bank Islam dan kemudiannya memohon kad debit tersebut dengan caj RM13 bagi tujuan pemprosesan.
Dalam pada itu, kad debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji ini juga turut akan dilengkapi dengan pelbagai keistimewaan lain dan ganjaran eksklusif buat pemegang kad tersebut.
Majlis pelancaran yang diadakan di Putrajaya itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Kredit foto: Bernama