Para pengunjung di pulau-pulau di negeri ini diingatkan  untuk tidak menyentuh, mengganggu, menangkap atau melakukan apa sahaja aktiviti, yang boleh mengancam spesis ikan badut atau ikan Nemo.

Pensyarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Liew Hon Jung berkata, perbuatan tersebut dikhuatiri mengancam nyawa spesis tersebut dan boleh menjadi faktor kekurangan ikan Nemo, di perairan semula jadi.

“Di lautan semula jadi, ikan Nemo hidup secara simbiosis yang saling memberi manfaat bersama perumahnya iaitu ‘sea anemone’, yang mana ia mempunyai sel ‘nematocysts’ yang berupaya menyengat dan melumpuhkan pemangsa ikan Nemo.

Ini memberi perlindungan kepada ikan Nemo secara langsung dan dijamin ia tidak akan diserang oleh pemangsa.

“Ikan Nemo yang terdapat di perairan Terengganu juga hanya menjalankan aktiviti hariannya seperti mencari makan atau mengawan di sekitar ‘sea anemone’ sahaja dan tidak berenang jauh daripada perumahnya itu.

“Sekiranya ia diganggu atau dipindahkan ke tempat lain, ini akan menyebabkan ikan tersebut kehilangan arah untuk berpatah balik ke perumah asalnya. Jadi ikan Nemo terpaksa mencari tempat perlindungan baharu di kawasan terumbu karang terbuka dan berisiko tinggi untuk diserang pemangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya meskipun sekiranya ikan tersebut berjaya mendapatkan ‘sea anemone’ yang baharu, namun ia berisiko untuk dihalau atau akan mati memandangkan ‘sea anemone’ tersebut telah didiami oleh keluarga ikan Nemo yang lain.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sebuah gambar yang menunjukkan beberapa ekor ikan Nemo yang ditangkap dan diletakkan di dalam sebuah botol yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp baru-baru ini yang dipercayai berlaku di Pulau Redang.

Sumber: