Orang Asli merupakan penduduk awal yang sering dikaitkan sebagai kaum peribumi yang dijumpai di Semenanjung Malaysia. Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan “Orang Asli” sebagai Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu (an aborigine of the Malay Peninsula). Menurut anggaran PBB, terdapat kira-kira 476 juta Orang Asal atau peribumi di seluruh dunia. Walaupun kurang lima peratus populasi global, mereka menyumbang 15 peratus orang termiskin di dunia ini. Terdapat tiga kumpulan utama Orang Asli di Semenanjung Malaysia iaitu Negrito, Senoi dan ProtoMelayu.

Pada tanggal 23 Disember 1994, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memutuskan bahawa Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia akan mula disambut pada 9 Ogos setiap tahun. Pada tarikh yang sama, PBB telah mengisytiharkan dua Dekad Antarabangsa bagi Orang Asal Sedunia (International Decades of the World’s Indigenous Peoples) iaitu yang pertama bermula 1995-2004 dan yang kedua 2005-2014. Dekad pertama bertujuan memperkukuh kerjasama antarabangsa untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh masyarakat peribumi dalam pelbagai aspek seperti hak asasi manusia, alam sekitar, pembangunan, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan sosial.

Semalam merupakan sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang ke-27 buat mereka, namun isu yang membelenggu Orang Asli masih lagi tidak berubah sejak merdeka lagi. Di Malaysia, hak tentang tanah adat Orang Asli masih lagi menjadi isu perdebatan, lebih-lebih lagi di negeri yang bergantung kepada hasil kayu balak.

Pengambilan tanah penempatan Orang Asli

Kredit gambar: https://vulcanpost.com/595963/malaysia-temiar-orang-asli-kelantan-forestry-issue/

Masyarakat Orang Asli bertindak sebagai “pengawal” atau “penjaga” tanah mereka terutamanya bagi diwariskan kepada generasi akan datang. Kehilangan tanah tersebut adalah satu kehilangan buat identiti mereka. Pada zaman dahulu, tuntutan hak Orang Asli terhadap tanah mereka tidak ditandingi oleh kaum lain kerana kawasan mereka dianggap tidak boleh diduduki dan jauh. Oleh yang demikian, Orang Asli dapat menggunakan tanah mereka secara mutlak tanpa kawalan.

Pada era ini, penempatan Orang Asli dimusnahkan bagi memberi laluan kepada projek-projek pembangunan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), empangan hidroelektrik, lebuh raya, institut-institut pengajian tinggi serta aktiviti pembalakan.

Sebelum ini, amalan hidup mereka yang hidup berpindah randah untuk mencari rezeki jelas menunjukkan mereka mengamalkan cara hidup nomad atau semi nomad. Mereka mencari sumber makanan dengan memburu dan memungut hasil hutan seperti rotan, damar, petai dan buah-buahan. Mereka juga mengamalkan pertanian pindah yang mana mereka menanam padi bukit, ubi kayu, ubi keledek, jagung dan sayur-sayuran.

Seiring dengan arus pemodenan, semakin ramai Orang Asli telah meninggalkan cara hidup nomad dan mereka ini telah tinggal menetap di sesuatu tempat yang antaranya disediakan oleh Kerajaan seperti dalam Rancangan Penempatan Semula. Bagi kesemua masyarakat Orang Asli, tanah merupakan aset yang sangat penting yang melambangkan kesejahteraan, identiti dan budaya mereka. Jumlah populasi Orang Asli masa kini ialah 217,000 orang dan mereka didapati bertaburan di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali di Pulau Pinang dan Perlis.

Kedudukan tanah Orang Asli menurut undang-undang

Kredit gambar: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/09/26/isu-tanah-adat-orang-asli-ugut-lawan-putrajaya-sokong-dasar-kelantan/

Kedudukan istimewa masyarakat Orang Asli diiktiraf Mahkamah Tinggi dan termaktub di bawah Perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan. Ia menyebut Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab melindungi masyarakat pribumi ini kerana kebajikan mereka terletak di bawah tanggungjawab dan kuasa Kerajaan Persekutuan.

Hak adat dinikmati Orang Asli sebagai penduduk pertama di Semenanjung tidak boleh dipadamkan dengan mendakwa ia menjadi tanah negeri, melalui penciptaan tanah rizab atau memberi pajakan mahu pun lesen kepada pihak ketiga atas alasan tanah berkenaan dimiliki kerajaan negeri.

Bagaimanapun, mana-mana kawasan penempatan Orang Asli yang tidak diwartakan sentiasa dalam keadaan berbahaya. Ini kerana kerajaan negeri selaku pihak berkuasa tanah berhak untuk memberi lesen pembalakan di kawasan tersebut lantas menjadikannya satu perkampungan baharu atau menukar milik kawasan itu untuk maksud pembangunan atau pertanian.

Hakikatnya, berdasarkan undang-undang tanah negara yang sedia ada, hak Orang Asli pada tanah ibarat penyewa yang boleh diusir pada bila-bila masa. Undang-undang tanah di negara kita mengamalkan sistem Torrens yang diamalkan sejak 1890-an. Menerusi sistem ini, hak milik seorang itu pada tanah hanya wujud dan tidak boleh disangkal selepas namanya didaftarkan dalam surat cara hak milik tanah. Keadaan ini tidak berlaku tanpa sebarang pewartaan oleh kerajaan terhadap tanah adat Orang Asli.

Semoga sambutan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia pada tahun ini tidak hanya tertumpu kepada acara-acara kebudayaan seperti dua dekad yang lalu, tetapi lebih mengutamakan kepada penyelesaian masalah tanah adat yang telah membelenggu mereka sejak sekian lama.