Tahukah anda, Seksyen (12) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah menetapkan keperluan undang-undang mengenai sebarang pengubahsuaian kepada kenderaan sebelum dan selepas pendaftarannya iaitu Pemeriksaan Kenderaan Motor Dan Pemberian Maklumat Kepada Ketua Pengarah.
Langkah-langkah ini adalah panduan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan peraturan tukar enjin bagi sesebuah kenderaan sentiasa dipatuhi .Pengubahsuaian yang bakal dibuat oleh pomen pada kenderaan kita hendaklah mengikut Garis Panduan ini dan perlu mengemukakan permohonan ke JPJ yang berdekatan.
Kategori pertukaran enjin yang perlu anda tahu
Sebelum menukar enjin kenderaan anda, kenal pasti dahulu permohonan anda berada di dalam kategori yang mana. Terdapat enam jenis permohonan pertukaran enjin iaitu:
Kategori 1: Pertukaran enjin dengan keupayaan kapasiti sama atau tidak melebihi 25% dari enjin asal bagi kenderaan persendirian.
Kategori 2: Pertukaran enjin kepada enjin buatan yang berbeza kapasiti melebihi 25% dari enjin asal.
Kategori 3: Pertukaran enjin dengan yang melibatkan perubahan jenis bahan bakar (petrol kepada diesel ataupun sebaliknya)
Kategori 4: Pertukaran enjin kenderaan Proton yang menggunakan enjin Campro kepada enjin Mitsubishi.
Kategori 5: Pertukaran enjin yang melibatkan penukaran gearbox manual ke auto atau sebaliknya.
Kategori 6: Pertukaran enjin bagi kenderaan perdagangan.
Langkah-langkah bagi pertukaran enjin kenderaan
Baik, setelah tahu anda berada di dalam kategori yang mana satu, ini pula langkah yang perlu buat:
1- Langkah pertama
Hadir ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dengan membawa dokumen berikut:
1.1- Surat Kastam 1
1.2- Sijil pemilikan kenderaan (VOC)
1.3- Borang permohonan tukar enjin (JPJTE)
Jangan lupa untuk pandu bersama kenderaan anda.
Terdapat dua peringkat pemeriksaan iaitu:
Ujian brek (lulus/gagal) dapat laporan VR1 -(Bayaran yang dikenakan sebanyak RM35)
Ujian keseluruhan (lulus/gagal) dapat laporan B2 – (Bayaran yang dikenakan sebanyak RM25)
Kedua-dua ujian ini wajib lulus, sekiranya gagal, anda perlu mengulanginya semula pada kadar bayaran yang sama.
2- Langkah Kedua
Selepas lulus ujian pemeriksaan di PUSPAKOM, anda akan diminta untuk mengisi borang K8 di pejabat JPJ bagi meminda maklumat enjin lama kepada enjin baharu. Bawa bersama laporan PUSPAKOM B2 dan VOC. Jika anda menggunakan khidmat ‘runner’, sertakan salinan MyKad pemilik kenderaan dan wakil yang hadir.
Sekiranya anda ingin mendapatkan VOC yang baru, bayaran RM50 akan dikenakan.
3- Langkah Ketiga
Sekiranya pemeriksaan kenderaan anda kelak melibatkan kes atau permasalahan (salah satu di bawah), anda wajib untuk berjumpa dengan pegawai di Bahagian Kejuruteraan Automotif (KA) di JPJ sebelum masuk ujian pemeriksaan PUSPAKOM.
3.1- Sesaran enjin melebihi 30 peratus daripada enjin asal.
Contoh: Enjin 1.3cc ditukarkan kepada 1.8cc
Cara kiraan 30 peratus ini:
Enjin baharu (1800cc) – Enjin Lama (1300cc) / Enjin Lama (1300cc) x 100 = 38.46%
3.2- Tukar enjin dari model kenderaan yang berbeza: Contoh, Toyota kepada Nissan
3.2- Tukar bahan bakar kenderaan. Contoh, petrol kepada diesel.
4- Langkah Keempat
Selesai mendapat surat kebenaran daripada Bahagian Kejuruteraan Automotif (KA), anda perlu menghadiri ujian pemeriksaan PUSPAKOM dan buat pengesahan butiran kenderaan di JPJ.
Setelah laporan dari PUSPAKOM dikeluarkan, pemilik kenderaan perlu membawa laporan tersebut (B2) ke JPJ negeri atau cawangan berdekatan bersama kad pendaftaran untuk mengemaskini kad pendaftaran dan merekodkan rujukan kelulusan.
Nota penting: Sekiranya anda membeli enjin daripada kawan-kawan atau orang yang anda kenali tanpa resit rasmi, maka anda perlu mendapatkan surat akuan bersumpah sebagai ganti Surat Kastam 1.