Hoegeng Iman Santoso merupakan seorang tokoh polis yang sangat jujur dari Indonesia. Beliau pernah menjawat jawatan tertinggi sebagai Kepala Kepolisian Negara Republik Indonesia ke-5. Jawatan ini adalah setaraf dengan Ketua Polis Negara di Malaysia.
Namun begitu, dek kerana kejujurannya Hoegeng hanya menjawat jawatan tersebut untuk sementara waktu sahaja. Bermula pada 9 Mei 1968 hingga 2 Oktober 1971, iaitu selama tiga tahun lima bulan.
Dilahirkan di dalam keluarga yang sederhana, Hoegeng sangat kuat berpegang kepada integriti. Terdapat satu lawak tentang kejujuran polis yang pernah diungkapkan oleh Presiden Abdurrahman Wahid. “Hanya ada 3 polisi jujur di negara ini: polisi tidur (bonggol jalan), patung polisi (patung polis), dan Hoegeng”.
Ini kisah kejujuran seorang ketua polis yang hidup di zaman rasuah sangat berleluasa.
Sejarah hidup Hoegeng
Ketua Polis Indonesia ini dilahirkan dengan nama Iman Santoso. Hoegeng merupakan gelaran semasa kecil yang bererti gemuk, kerana kegempalannya semasa kecil.
Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sederhana tetapi cukup makan dan pakai. Bapanya merupakan seorang pendakwa raya dan memiliki ramai teman yang bekerja sebagai polis. Ini menjadi inspirasi buat Hoegeng untuk menjadi seorang pegawai polis.
Ketika kedatangan Jepun, pendidikan jurusan undang-undang Hoegeng di Rechtshoogeschool te Batavia tergendala. Bagi mencari pendapatan, beliau mula berniaga telur dan buku sekolah. Ketika ini, Hoegeng pernah ditawarkan menjadi deejey stesen radio. Beliau sememangnya mempunyai bakat dan pengetahuan yang mendalam tentang muzik.
Selain itu juga, terdapat kekosongan bagi kurus polis di Pekalongan. Daripada 130 orang yang memohon, Hoegeng bersama 10 orang yang lain diterima sebagai pelatih. Biarpun kecewa kerana ditawarkan pangkat yang rendah berbanding inspektor, Hoegeng menamatkan latihan dan menjadi anggota polis.
Sepanjang menjadi anggota polis, Hoegeng pernah dipinjamkan kepada Angkatan Tentera Laut dan juga sebagai anggota pentadbiran. Antara jawatan yang pernah diamanahkan kepada beliau termasuklah sebagai polis tentera laut, Pengarah Imigresen dan juga Setiausaha Kabinet.
Atas pujukan Ketua Polis Negara yang pertama, Hoegeng kembali menjadi anggota polis. Ini juga bertepatan dengan cita-cita dan minatnya. Atas kejujuran dan pengalaman kerjanya yang luas, Hoegeng pantas naik pangkat.
Pada tanggal 9 Mei 1968, Hoegeng dipilih sebagai Ketua Polis Negara Indonesia yang kelima. Pesan ibunya ketika dimaklumkan tentang lantikan itu amat dalam. Selesaikan tugas dengan jujur, “karena kita masih bisa makan nasi dengan garam”.
Berintegriti di waktu rasuah berleluasa
Sebagai Ketua Polis Negara, Hoegeng ketika itu bertanggungjawab terus kepada Presiden Soeharto. Namun begitu, Presiden Indonesia yang kedua ini amat terkenal dengan budaya salah guna kuasa dan rasuah.
Menurut laporan oleh Transparency International, beliau merupakan presiden yang paling banyak mengamalkan rasuah. Dianggarkan sepanjang 31 tahun pemerintahan Soeharto, sebanyak $15 hingga $35 bilion wang negara dilesapkan. Maka, sudah pasti Hoegeng sukar untuk bekerja bersama-sama presiden sepertinya.
Hoegeng sangat terkenal dengan sikap anti rasuah. Ketika menjadi Ketua Polis Medan lagi, beliau pernah berpindah ke hotel hanya kerana rumah rasmi polis sebelum ini dipenuhi perabot hasil rasuah. Sebarang hadiah mewah hanya akan dilemparkan ke luar tingkap.
Beliau juga pernah cuba ditawarkan dengan wanita cantik untuk menutup mata terhadap kes penyeludupan. Namun begitu, ia tidak melunturkan ketegasan dan integriti Hoegeng.
Pernah satu ketika, Hoegeng membongkarkan skandal perjudian yang turut melibatkan anggota tertinggi polis. Oleh kerana itu, beliau telah dihantar sihir oleh anggota tersebut. Namun, kerana dihormati oleh semua orang, pawang tersebut kemudiannya datang dan meminta maaf.
Diberhentikan dari tugas
Antara jenayah terbesar yang perlu dihadapi oleh Hoegeng ialah penyeludupan. Mana tidaknya, Indonesia merupakan negara kepulauan yang dikelilingi oleh 17,000 buah pulau. Penjenayah seperti Robby Tjahjad menjadikan Indonesia rugi akibat aktiviti penyeludupan.
Pada suatu hari, Hoegeng mahu bertemu dengan Presiden Soeharto. Pertemuan ini adalah bagi memberi laporan mengenai aktiviti Robby, namun begitu akhirnya Hoegeng membatalkan pertemuan tersebut. Ini kerana, Presiden mempunyai temu janji pada waktu sebelumnya dengan Robby Tjahjad.
Pada bulan Oktober 1971, Hoegeng diberhentikan dari jawatan Ketua Polis Indonesia. Alasan pemberhentiannya adalah bagi menggantikan beliau dengan Ketua Polis Negara yang lebih muda.
Namun begitu, Hoegeng digantikan oleh Mohamad Hasan yang tua setahun daripadanya. Menurut Majalah TEMPO, beliau digantikan kerana terlalu aktif membongkarkan aktiviti penyeludupan. Selepas itu, Hoegeng ditawarkan jawatan Duta Besar ke Belgium tetapi ditolaknya mentah-mentah.
Ketika bersara, Hoegeng tidak mempunyai apa-apa harta. Beliau tidak memiliki sebarang kereta, apatah lagi sebuah rumah. Diberitakan beliau hanya mempunyai sebuah basikal dan radio yang kemudiannya dicuri orang. Bagi mencari nafkah, Hoegeng kembali aktif bermain alat muzik dan menerima jemputan televisyen.
Sehingga hari ini, kejujuran Hoegeng masih lagi disanjung dan diperkatakan oleh rakyat Indonesia.