Enam puluh peratus daripada badan kita dan sembilan puluh peratus daripada darah kita terdiri daripada air. Oleh kerana itu, adalah sangat penting untuk mengambil air yang mencukupi untuk membantu tubuh badan kita berfungsi dengan baik.

Tahukah anda, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terdapat 884 juta penduduk dunia tidak mempunyai akses kepada air bersih di seluruh dunia. Ketiadaan akses kepada air bersih ini juga akhirnya menjadi penyebab kepada kematian ratusan ribu manusia.

Air paip, sumber air paling hampir dengan kita.

Kredit: https://waterforfuture.org/ms/library/sejauh-mana-selamatnya-air-paip/

Sumber air paip di Malaysia disalurkan dari beberapa loji rawatan air di seluruh negara. Kita selalu mendengar persoalan tentang adakah air paip Malaysia selamat untuk diminum. Sebenarnya, air tersebut telahpun dirawat di loji rawatan air, maka sudah tentu ia selamat untuk diminum. Namun, apabila air tersebut sampai ke rumah kita, kadangkala ia mempunyai rasa dan bau yang aneh.

Puncanya? Saliran paip yang lama yang membekalkan air ini kebanyakkannya sudah terisi dengan mendapan karat, pasir dan kotor. Ini menyebabkan kualiti air yang bersih dari loji rawatan tadi kembali tercemar.

Air paip sebenarnya selamat untuk diminum.

Melalui satu soal selidik yang dibuat oleh Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Forum Air Malaysia dengan melibatkan 3,050 orang responden, hampir 76 peratus daripada mereka tidak yakin dengan tahap kebersihan air paip yang disalurkan ke rumah mereka. Selain itu juga, 59 peratus daripada responden tersebut pula percaya bahawa air paip mengandungi bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan.

Sebenarnya, walaupun sudah bercampur dengan bau dan rasa yang pelik, air paip masih lagi selamat untuk diminum. Kajian menunjukkan tahap kandungan mineral di dalam air tersebut masih lagi berada di tahap yang baik. Namun begitu, anda dinasihatkan supaya menjerang air tersebut terlebih dahulu.

Air minuman bertapis atau air mineral semula jadi? Mana satu pilihan anda.

Kredit: https://azzahrah.my/tahukah-anda-maksud-warna-penutup-botol-air-mineral/

Cara paling mudah bagi membezakan dua jenis air minuman sama ada air mineral semula jadi atau air minuman dari sumber rawatan air yang lain adalah dengan hanya melihat warna digunakan pada penutup botol. Kebiasaannya, air minuman bertapis menggunakan penutup berwarna putih, dan air mineral pula menggunakan warna-warna lain seperti hijau dan biru.

Selain itu juga, anda boleh merujuk kepada label pembungkusan minuman tersebut. Label pada air minuman bertapis kebiasaanya akan turut merujuk kepada proses rawatan penapisan air tersebut. Contoh proses rawatan dan penapisan air yang popular di negara kita adalah seperti reverse osmosis (RO), electrodialysis, ion exchange dan sterilisation menggunakan ozone atau sinaran ultraviolet.

Air mineral semula jadi pula perlu menyatakan punca air dan nombor kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada label pembungkusannya. Ini kerana, punca air tersebut sebenarnya telahpun diuji terlebih dahulu oleh KKM sebelum disahkan selamat untuk digunakan. Kesemua prosedur ini terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang dikawalselia dan dikuatkuasakan sepenuhnya oleh KKM.

Hargai air

Tarif air di negara kita adalah antara yang termurah berbanding negara-negara lain di dunia. Sebagai contoh, Selangor dan Johor masing-masing hanya mengenakan caj RM0.57 dan RM0.80 bagi setiap meter padu air. Apabila dibandingkan dengan Thailand dan Singapura, yang masing-masing mengenakan bayaran sekitar RM1.09 dan RM6.50 per meter padu air untuk kegunaan domestik, harga air kita jauh lebih murah. Maka, kita harus menghargai air dan tidak membazirkan air secara sewenang-wenangnya.

Selain daripada itu, sekiranya anda mahukan akses air bersih sepanjang hari di kediaman atau premis perniagaan. Anda boleh dapatkan penapis air yang berkualiti tinggi.