Peningkatan urusan jual beli secara dalam talian menyebabkan kita semua banyak menggunakan perkhidmatan penghantaran barang. Tak kisahlah Poslaju, DHL, J&T, Ninja Van atau lain-lain perkhidmatan, anda perlu memasukkan poskod penerima parcel semasa menulis alamat mereka.

Tahukah anda, bagaimanakah nombor poskod ditentukan di negara kita?

Asal usul poskod yang pertama di dunia

Kredit gambar: https://mappinglondon.co.uk/2012/bacons-picture-map-of-london/

Perkembangan poskod sebenarnya mencerminkan kerumitan terhadap penghantaran pos apabila populasi bertambah dan kawasan perbandaran menjadi lebih kompleks. Ini berlaku pertama kali di bandar-bandar yang mempunyai populasi yang padat. Poskod bermula dengan nombor daerah pos (atau nombor zon pos) di bandar-bandar ini.

London, bandar pertama di dunia yang menggunakan sistem poskod telah dibahagikan kepada 10 daerah pada tahun 1857 (EC (East Central), WC (West Central), N, NE, E, SE, S, SW, W, dan NW). Empat daerah dibentuk untuk penghantaran pos di Liverpool pada tahun 1864.

Bandar Manchester dan Salford pula dibahagikan kepada lapan daerah bernombor pada tahun 1867-1868. Setelah itu, menjelang Perang Dunia Pertama, poskod juga telah digunakan secara meluas di bandar-bandar lain di Eropah.

Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) adalah negara pertama yang menggunakan sistem poskod moden pada tahun 1932 tetapi kemudiannya dibatalkan penggunaanya pada tahun 1939. Kini, terdapat kira-kira 117 negara di seluruh dunia sudah menggunakan sistem poskod.

Di Amerika Syarikat, poskod ini dipanggil sebagai zip code, manakala di Jerman dan negara yang bertutur dalam bahasanya, ia dipanggil PLZ. Itali pula menggunakan terma CAP. Walau apa pun sebutan dan singkatannya, ia merujuk kepada sistem kod pos yang sama.

Sejarah poskod di Malaysia

Kredit gambar: https://mewarnaigambarsketsa.blogspot.com/2016/12/mewarnai-gambar-sketsa-surat.html

Sistem poskod kita bermula pada tahun 1976. Sebelum itu, hanya Bandaraya Kuala Lumpur sahaja yang mempunyai poskod tersendiri. Pengarah Pos ketika itu, Datuk M.Rajasingam melihat kepada kepentingan sistem poskod untuk seluruh negara dan memulakannya.

Beliau yang mempunyai hubungan akrab dengan pengurusan La Poste di Perancis telah memohon bantuan mereka untuk menyusun sistem poskod ini. Akhirnya, pihak La Poste bersetuju untuk menghantar pegawai mereka bagi membantu pengurusan Pos Malaysia menyusun sistem poskod kita.

Kredit gambar: https://varnam.my/community/2020/35106/m-rajasingam-the-man-behind-malaysias-postal-code-system/

Bermula dengan sistem dua angka bagi menunjukkan kawasan, akhirnya seluruh negara mempunyai sistem poskod yang tersendiri.

Bayangkan sekiranya tiada poskod, bagaimana agaknya barang yang kita pesan dari Shopee tu nak sampai ke rumah?

Selain daripada mencipta poskod bagi kegunaan seluruh negara, Datuk M.Rajasingam juga bertanggungjawab membangunkan Pos Mini untuk kawasan pendalaman yang kurang akses kepada kemudahan di bandar. Pos Mini ini amatlah penting sebagai hub utama bagi pembayaran, penghantaran surat dan bungkusan, pembelian wang pos dan urusan-urusan kerajaan yang lain di kawasan luar bandar.

Beliau juga bertanggungjawab mewajibkan bangunan baharu seperti pangsapuri, rumah kedai, apartment dan kondominium untuk memiliki peti surat tersendiri di bawah bangunan tersebut bagi memudahkan posmen menghantar surat mereka.

 

 

 

Sumber: