“TIDAK boleh terlalu banyak ‘baby hatch’ (pelindung bayi) nanti boleh menggalakkan dan menjadi kebiasaan melahirkan bayi luar nikah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Dr Wan Norashikin berkata, kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang menambah ‘baby hatch’ sedia ada yang diselenggara oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hospital swasta.

“Sebenarnya bukan kita tidak mahu sediakan lebih banyak tetapi apabila lebih banyak disediakan bermakna ia akan menggalakkan (bayi luar nikah).

“Tetapi kita sentiasa bekerjasama dengan NGO dan hospital swasta untuk menerima bayi yang diletakkan di ‘baby hatch’ ini,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya dengan kerjasama kerajaan pusat akan memperhalusi dan melihat cadangan untuk menyediakan ‘baby hatch’ di negeri ini.

“Bagi mengadakan ‘baby hatch’ itu boleh kita mempertimbangkan, tetapi untuk mengadakan lebih banyak kurang sesuai.

“Mungkin di tempat tertentu kita akan sediakan kerana kita tidak mahu lagi berlaku kes pembuangan bayi yang sangat menyedihkan,” katanya.

Katanya, pada masa sama pihaknya juga sentiasa memantau pelbagai masalah sosial termasuk buang bayi, sumbang mahram dan sebagainya.

Terbaru di negeri ini, bayi lelaki masih bernyawa dan bertali pusat ditemukan berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham.

Pada 10 Julai lalu, kejadian seumpamanya berlaku di sebuah apartmen di Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown apabila bayi perempuan baru dilahirkan maut dicampak ibunya dari tingkat 13.

Letak bayi di baby hatch bukan jenayah

Ibu yang meletakkan bayi mereka di Baby Hatch tidak perlu bimbang kerana ia bukan satu perbuatan jenayah.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata sebaliknya, keselamatan dan kesihatan bayi mereka dijamin untuk mendapat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, bayi berkenaan juga akan ditempatkan bersama orang yang layak selepas melalui proses panel penempatan sesuai dan diputuskan mahkamah sebagai anak angkat.

“Kerajaan menyediakan pusat Baby Hatch untuk ibu terdesak yang mempunyai anak tidak diingini supaya bayi mereka boleh diletakkan di tempat yang selamat.

“Untuk tempoh Januari hingga September lalu, sebanyak 11 bayi berjaya diselamatkan. Untuk tempoh keseluruhan daripada 2010 hingga September 2017 sebanyak 43 bayi berjaya diselamatkan.

Kerajaan menubuhkan lapan pusat Baby Hatch di Hospital KPJ, seluruh negara iaitu di Damansara, Kuala Lumpur, Johor Bharu; Pulau Pinang, Ipoh, Perak, Kelantan dan Kuantan, Pahang.

Selain itu, Baby Hatch turut ditempatkan di tiga Pusat Perlindungan Orphan Care di Kuala Lumpur, Sungai Petani (Kedah) dan Johor Bharu.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: