Awal minggu lalu, pelabur dan bilionair Warren Buffett mengumumkan pembelian syarikat insurans Alleghany. Pembelian secara tunai tersebut berharga $11.6 bilion, pada harga $848.02 sesaham dalam.

Pembelian ini didanai oleh syarikat konglomerat milik Warren iaitu Berkshire Hathaway. Menurut Berkshire Hathaway, pembelian ini adalah 1.26 lebih tinggi nilainya berbanding nilai Alleghany pada tahun 2021. Selain itu juga, nilai saham yang dibayar oleh Berkshire Hathaway kepada Alleghany adalah 16 peratus lebih tinggi.

Biarpun pembelian berstatus mega ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan oleh Berkshire Hathaway, ia pantas membuka mata pelabur. Mana tidaknya, pembelian secara tunai ini merupakan pembelian terbesar Berkshire Hathaway dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.

Memiliki Berkshire Hathaway sejak tahun 1962, Warren Buffett merupakan pelabur berstatus lagenda. Beliau membeli saham pertamanya ketika berusia hanya 11 tahun. Syarikat Berkshire Hathaway dibeli oleh beliau sebagai syarikat tekstil dengan harga $7.60 sesaham. Pada hari ini, syarikat tersebut mempunyai pegangan pasaran bernilai $730 bilion dengan nilai $500,000 sesaham.

Pembelian syarikat insurans ini bagaimanapun bukanlah pembelian terbesar yang dibuat oleh beliau. Berikut merupakan tiga pembelian terbesar Berkshire Hathaway melalui billionair Warren Buffett.

1. Precision Castparts Corp

Kredit gambar: Insurance Journal
 


Precision Castparts merupakan syarikat fabrikasi logam terulung di Amerika Syarikat. Pada hari ini, ia merupakan sebahagian daripada konglomerat Berkshire Hathaway.

Syarikat ini dibeli dengan nilai $37 bilion, pembelian terbesar oleh Warren Buffett. Oleh kerana Precision Castparts terbabit di dalam pembuatan logam bagi kegunaan industri penerbangan dan penerokaan aeroangkasa, ia menjadi perbualan hangat ketika itu.

Saham mereka dijual pada harga $235 sesaham pada tahun 2015. Jumlah tersebut adalah 21.2 peratus lebih tinggi berbanding nilai sebenarnya.

2. BNSF Railway

Kredit gambar: Fox Business

Amerika Syarikat merupakan sebuah negara yang sangat besar, maka perdagangan antara negeri memerlukan kepada sistem pengangkutan. Burlington Northern and Santa Fe Railway merupakan salah satu daripada syarikat penyedia pengangkutan kontena dengan kereta api.

Kini, syarikat ini lebih dikenali sebagai BNSF Railway. Mereka mempunyai 35,000 pekerja dengan landasan kereta api sejauh 52,300km merentasi 28 buah negeri. Selain itu juga, syarikat ini memiliki sejumlah 8,000 lokomotif.

Pembelian oleh Berkshire Hathaway ini berlaku pada tahun 2009. Sebanyak $34 bilion dibelanjakan bagi pembelian ini. Antara kepentingan utama BNSF Railway ialah mengendalikan pengangkutan bagi arang batu.

Secara tidak langsung, Berkshire Hathaway kini mengendalikan pengangkutan arang batu yang menjana 25 peratus elektrik bagi Amerika Syarikat.

3. Kraft Heinz

Kredit gambar: Business Insider

The Kraft Heinz Company (KHC) merupakan sebuah syarikat pengeluar dan pemprosesan makanan. Ia merupakan syarikat ketiga makanan terbesar di utara Amerika Syarikat dan kelima terbesar di dunia. Pada tahun 2020, Kraft Heinz mencatatkan juakan berjumlah $26 bilion.

Pada tahun 2013, Warren Buffett bersama-sama 3G Capital membeli Heinz Foods pada harga $23.3 bilion. Menerusi pembelian tersebut, Berkshire Hathaway sendiri membayar harga $12 bilion.

Heinz Food kemudiannya bergabung bersama musuh tradisinya Kraft Foods. Sekali lagi, Buffett melalui Berkshire Hathaway bersama-sama 3G Capital melaburkan $10 bilion bagi pembelian tersebut.

Sepanjang tahun lalu, Kraft Heinz Company mencatatkan keuntungan bersih berjumlah $1 bilion. Namun begitu, Buffett tidak berbangga dengan pembelian ini. Beliau pernah mendakwa, Berkshire Hathaway telah melakukan kesilapan kerana membayar nilai yang lebih tinggi semasa pembelian syarikat ini.