Pada tahun 1920, dianggarkan hampir 100,000 harimau menduduki hutan tebal di Asia. Namun, pada hari ini harimau semakin diancam kepupusan.
Seratus tahun kemudian, dianggarkan hanya 3,900 harimau masih berkeliaran di hutan-hutan Asia pada hari ini. Secara tidak langsung, jumlah ini menurun secara mendadak sebanyak hampir 94 peratus.
Begitu juga halnya dengan spesis harimau di hutan Malaysia, Harimau Malaya. Berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama yang dilaksanakan mulai 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor.
Pelbagai kajian dilakukan oleh penyelidik tempatan dan antarabangsa bagi memahami punca sebenar masalah ini. Pembinaan empangan hidroelektrick secara berleluasa di beberapa buah negara di Asia kini disimpulkan sebagai antara faktor kepupusan harimau.
Pemusnahan habitat harimau
Empangan merupakan suatu pembinaan yang melibatkan pewujudan jasad air dalaman yang besar. Pada tahun 1949, lebih kurang 5000 buah empangan telah dibina di seluruh dunia. Jumlah ini bertambah dengan pantas 50 tahun kemudian.
Pada akhir abad ke 20 pula, terdapat lebih daripada 45,000 buah empangan di seluruh dunia telah dibina. Ia bertujuan untuk membantu komuniti dan ekonomi dalam aspek kawalan banjir, makanan, peluang pekerjaan, pembangunan bandar serta pembangunan industri dan domestik. Selain itu juga, empangan membantu penjanaan sumber elektrik.
Di Malaysia sahaja, hampir 11 buah empangan dibina bagi tujuan tersebut.
Ini membawa kepada persoalan utama tentang kepupusan harimau. Kajian oleh pelajar Doktor Falsafah di University of Porto, Ana Filipa Palmeirim memperlihatkan bagaimana habibat harimau yang dihapuskan bagi pembinaan empangan berkait rapat dengan kepupusannya. Menerusi kajian tersebut, didapati seluas 13,000 km persegi hutan yang menjadi habibat harimau telah ditenggelami air bagi memberi laluan kepada empangan.
Kajian Anna Filipa ini turut disokong oleh Dr Luke Gibson, dari Southern University of Science and Technology, Shenzhen, China. Menurut beliau, dapatan kajiannya menunjukkan tanpa pembinaan empangan secara besar-besaran, jumlah harimau mungkin 20 peratus lebih banyak berbanding hari ini.
Kemusnahan biodiversiti akibat pembinaan empangan
Empangan terbesar di dunia, Three Gorges Dam dibuka sepenuhnya pada tahun 2012. Mula dibina sejak tahun 1994, empangan ini menelan kos pembinaan sebanyak hampir $31.7 bilion.
Pembinaan empangan ini bagaimanapun memusnahkan segalanya. Sebanyak 1.4 juta penduduk terpaksa dipindahkan, 13 bandar, 140 pekan dan 1,350 kampung tenggelam semasa pembinaan Three Gorges Dam.
Selain bandar dan pekan, empangan ini juga memusnahkan hutan. Dianggarkan sekeliling sungai tersebut menyimpan hampir 20 peratus hutan pada tahun 1950. Namun begitu, jumlah tersebut kurang dari 10 peratus pada hari ini. Apabila hutan terhapus, ia turut memusnahkan habitat haiwan liar yang tinggal di dalamnya.