Kain pelekat sangat dekat dengan kita. Hinggakan motif dan corak pada kain tersebut juga tidak lari dari nilai dan budaya Kepulauan Melayu.
Ia boleh digunakan dalam pelbagai keadaan, dari waktu solat, diikat di kepala sehingga kain basahan. Kain pelekat juga dekat dengan kanak-kanak lelaki yang baru berkhatan. Ia banyak diberikan sebagai hadiah, terutamanya di kawasan kampung.
Bentuk empat segi adalah corak yang sinonim bagi pelekat dan lebih eksklusif lagi antaranya corak sulaman songket. Setiap corak dan warna memiliki seni tersendiri dan sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak semasa.
Dek kerana sudah terbiasa, mungkin kain pelekat dilihat sebagai pakaian biasa pada kita. Namun begitu, sebenarnya kain pelekat mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Sejarah kain pelekat
Kain pelekat, disebut sebagai sarong dalam Bahasa Inggeris sangat sinonim dengan budaya Kepulauan Melayu. Nama tersebut mengikut tradisi ia dipakai iaitu dengan menyarungkannya. Hinggakan maksud sarong di dalam Encyclopaedia Britannica memperlihatkan keakraban pelekat dengan negara di rumpun ini.
Di dalam buku beliau Rupa & Gaya Busana Melayu, Azah Aziz menulis bagaimana kain pelekat sangat signifikan terhadap budaya Melayu. Menurut sejarah, seorang penulis dari Portugal bernama Castaneda menulis bagaimana peniaga fabrik dari Palaiyakat, India memenuhi Melaka dengan kain-kain jualan mereka.
Terdapat juga sejarah yang mengatakan kain tersebut berasal dari Yaman. Digelar sebagai futah, ia kemudiannya dibawa oleh pedagang India ke Kepulauan Melayu.
Semasa penjajahan Belanda di Indonesia, kain pelekat menjadi salah satu lambang perjuangan kemerdekaan mereka. Ia kekal sebagai budaya yang sangat dititikberatkan di sana.
Apa yang pasti, kain tersebut pantas mendapat perhatian dan dikenali sebagai kain pelekat dalam masyarakat Melayu. Pada hari ini, kain pelekat dipakai di beberapa buah negara seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina dan Laos.
Kain pelekat moden dan Gajah Duduk
Sekitar 49 tahun yang lalu, PT Pismatex ditubuhkan di Pekalongan, Jawa Tengah. Jenama Gajah Duduk yang sangat terkenal merupakan keluaran syarikat ini. Ia diberikan nama Gajah Duduk bersempena dengan kekuatan dan kehebatan gajah yang dianggap kuat dan tahan lasak.
Gajah Duduk dianggap sebagai jenama moden bagi kain pelekat. Motif dan coraknya kekal releven dengan penambahbaikan. Ia dihasilkan dengan benang bermutu, malah dikelaskan mengikut gred benang dan jumlah benang.
Pasti anda pernah melihat nombor di tepi kotak kain pelekat. Nombor seperti 4,000, 5,000, 7,000 dan 10,000 ini menggambarkan jumlah benang yang digunakan bagi pembuatan kain tersebut. Lebih banyak jumlah benang yang digunakan, lebih lembut kain pelekat tersebut.
Pada hari ini, Gajah Duduk mendominasi pasaran kain pelekat di Malaysia dan di Indonesia. Hampir 40 peratus daripada kain pelekat yang terjual di kedua-dua buah negara ini dari jenama Gajah Duduk.