Apple meneruskan dominasi pasaran tablet melalui penjualan iPad. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh International Data Corporation (IDC), sebanyak 12.7 juta iPad telahpun dibeli oleh pelanggan, hanya sepanjang suku pertama tahun ini.

Peningkatan jualan ini adalah disebabkan oleh pandemik dan keperluan untuk belajar dan bekerja dari rumah. Jumlah tersebut mengukuhkan kedudukan Apple sebagai peneraju pasaran tablet dengan pegangan sebanyak 31.7 peratus. Sekiranya dibandingkan dengan suku pertama tahun 2020, ini adalah peningkatan sebanyak 64.3 peratus untuk penjualan iPad.

Samsung berada di kedudukan kedua dengan penjualan tablet sebanyak 8 juta, manakala Lenovo di tempat ketiga dengan 3.8 juta tablet terjual. Menurut IDC, peningkatan bagi penjualan tablet sebanyak 39.9 juta tablet ataupun 55.2 peratus ini adalah yang tertinggi sejak lapan tahun lalu. Kali terakhir peningkatan seperti ini direkodkan adalah pada tahun 2013 iaitu sebanyak 56.9 peratus.

Bagi penjualan Chromebook pula, sebanyak 13 juta unit terjual bagi suku tahun pertama 2021 berbanding hanya 2.8 juta pada tahun lalu. Penjualan Chromebook pula didominasi oleh HP dengan 4.4 juta unit ataupun 33.5 peratus daripada keseluruhan jualan. Lenovo berada di tempat kedua dengan 3.3 juta unit, manakala Acer di tempat ketiga dengan 1.9 juta unit.

IDC meramalkan penjualan tablet dan Chromebook akan terus mendapat sambutan dengan keadaan pasca pandemik yang masih tidak menentu.

Sumber: